Thursday, April 16, 2009

Hatiku MilikMu (Bhg 11)

Edit Posted by Anonymous with No comments

" Awak kenal Umar Al-Mujahid?" Fika bertanya, mengabaikan persoalan Asiah Yusro.

" Kenal," ringkas jawapannya. Asiah Yusro kehairanan.

" Macam mana boleh kenal?" lagak Fika bagaikan seorang peguam sedang menyoal pesalah di kandang saksi. Nadanya mendatar.

" Dia satu sekolah dengan saya dulu,"

" Takkan kenal sebagai kawan satu sekolah je kot..awak bercinta dengannya?"

" Err.." Asiah Yusro teragak-agak menjawab soalan itu. Pelik!

" Mm, awak tak perlu jawab soalan tu. Dari riak wajah awak pun saya tahu awak memang bercinta dengannya..". Asiah Yusro menafikan tuduhan yang tidak berasas itu. Gosip liar ini boleh mencemar nama baiknya.

(Ya, aku sukakan Umar. Tapi, kami tak pernah bercinta..)

 

 Fika terus bertindak berani melemparkan tuduhan yang dicipta oleh mindanya. Semuanya satu sangkaan semata-mata.  Malah, dihamburkan dengan kata-kata berbaur fitnah yang menyakitkan. Dia cukup cemburu dan curiga dengan gadis itu. Baginya, perempuan yang terpancul namanya di mulut Umar ini telah meracuni cintanya. Kehadirannya boleh mengancam kebahagiaan.

(Cis, kau suruh aku mendapat bimbingan daripada si perampas ni, Umar?! Mustahil! Aku tak perlukan bimbingan sesiapa hatta diri kau sendiripun, Umar. Aku sudah seronok dengan gaya hidupku. Tak ada sesiapa berhak mengajarku!) Fika sebenarnya langsung tidak berminat untuk mendapat bimbingan sesiapa. Kata-katanya di hadapan Umar cumalah madah berhelah semata-mata. Pada malam itu, Asiah Yusro dijadikan mangsa untuknya melepaskan tekanan perasan yang meluat-luat dengan kerenggangan perhubungannya dan Umar. Asiah Yusro tenang menghadapi semua itu. Walaupun teruk dihina dan dinista namun dia masih mampu tersenyum kerana meyakini Allah Maha Mengetahui segala-galanya.

(Kasihan dia. Entah dari mana didengarnya cerita yang bukan-bukan ni. Tak mengapalah, aku yakin Allah sengaja datangkan semua ni untuk mengujiku. Ujian itu tanda sayangnya Allah padaku) Asiah Yusro terus tabah. Hatinya tak putus-putus berzikir, berbaik sangka dengan ujian Allah.

(Gila perempuan ni! Kenapa kau senyum pula? Kerana kau puas merampas Umar daripada aku? Huh, jangan mimpi lah perempuan. Umar tetap akan jadi hak aku)

" Bang, Fika terseksa bila abang buat Fika macam ni. Fika ajak abang jumpa kejap pun abang tolak. Dah lah tu, abang jarang-jarang je jawab panggilan Fika. Abang dah benci Fika ke?"

" Fika, abang nak kembali pada kehidupan bersama kawan-kawan abang. Abang rasa lebih tenang bersama mereka. Dulu, abang cuba tinggalkan mereka tapi hidup abang jadi tak tenteram,".

" Mereka lebih penting daripada Fika?". Umar terdiam. Sukar bibirnya melepaskan ucap.

" Abang akui, abang tak boleh lupakan Fika,".

" Abang, jawab soalan Fika! Mereka lebih penting daripada Fika?"

" Ya, Fika!" terperanjat Fika dengan jawapan yakin Umar.

" Menyampah! Fika benci abang! Fika benci semua lelaki! Fika boleh jadi gila kalau macam ni. Jangan terkejut kalau Fika bunuh diri."

" Fika, jangan jadi bodoh! Fika ingat bunuh diri tu boleh selesaikan masalah? Berlambak lagi masalah dalam alam barzakh. Fika cakap, Fika nak berubah dan perlukan bimbingan. Fika dah cari Asiah Yusro seperti yang abang suruh?"

" Abang, kenapa Fika perlu cari perempuan tu? Fika tahu, kawan yang lebih penting dari Fika yang abang maksudkan tadi ialah dia. Abang tak perlu berdalih lagi. Abang sengaja nak sakitkan hati Fika. Abang suruh Fika mencari orang yang telah merampas abang dari Fika?! Kalau Fika cari pun, Fika akan ajar dia!" hati yang sarat dendam tersurat daripada kata-kata Fika.

" Astargfirullah. Fika, tak baik sangka yang bukan-bukan. Abang cuma berharap agar Fika boleh menerima bimbingan darinya...untuk kebaikan Fika juga,"

" Kenapa dia yang harus bimbing Fika? Kenapa tidak abang?"

(Perempuan ni sebenarnya belum bersedia ditarbiyyah. Dia ada niat lain. Hatinya berajakan nafsu. Ini boleh menjadi hijab untuknya menerima hidayah. Dia perlu ada kesediaan hati dan keikhlasan niat)

" Fika, Fika perlu ikhlaskan niat kalau nak kebaikan. Ini bukan nokhtah bidayah  atau titik mula yang betul untuk berubah. Matlamat tak menghalalkan cara. Abang tak boleh nak bimbing Fika sebab fitnah bagi hati abang dan Fika jauh lebih hebat nanti. Jalan ni tak syaro'. Kita juga yang terhijab dari hidayah Allah, rugilah kita!"

" Tapi bang, Fika dah pun berjumpa Asiah Yusro. Dia tak sanggup terima Fika untuk dibimbing. Fika ni terlalu kotor pada pandangannya. Macam-macam dihinanya Fika. Dia seakan jijik melihat pakaian Fika. Fika tahu Fika tak semulia dia, tapi salahkah Fika mengharapkan bimbingannya? Bang, hati Fika benar-benar terguris dengan sikapnya. Fika tak nak jumpa dia lagi. Fika serik," Fika berbohong dengan esak tangis yang dibuat-dibuat untuk mencairkan hati Umar.

(Boleh percaya ke perempuan ni?) Umar ragu-ragu.

0 comments: